October 14, 2013
Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia
Seorang anak memarahi ibunya sejak kecil kerana bekerja di satu tempat yang menyebabkannya diejek. Namun, perasaan marah itu dipendam tanpa diberitahu sehinggalah ianya hampir kehilangan ibunya.
Anak itu tidak memahami mengapa ibu tidak membenarkan ayahnya pulang ke rumah ketika usianya 10 tahun. Bukan sekali tapi dua kali. Anak juga tidak faham mengapa ibunya berhenti kerja sebagai seorang jururawat dan bertukar ke seorang pendandan rambut di sebuah salon.
Anak pernah bertemu dengan ayahnya yang sudah bercerai dengan ibunya untuk mendapatkan penjelasan. Ayahnya hanya berkata ibu tidak mahu beliau kembali tanpa mengulas lanjut.
Prasangka anak terhadap ibu semakin mendalam. Anak merasakan ibunya yang merosakkan segalanya – kehidupan ini baginya dalam malu kerana angkara ibu.
Ibunya kini terlantar di hospital kerana barah. Melihat keadaan ibunya sekarang, anak berasa kesal kerana tidak pernah meluangkan masa berkualiti bersama ibunya kerana anak sengaja menjauhkan diri daripada ibunya apabila anak sudah berdikari.
Pada usia 16 tahun, anak bermati-matian hendak ke sekolah berasrama penuh. Alasannya ketika itu ialah anak ingin hidup berdikari tapi niatnya sebenar adalah untuk menjauhi ibu dan dua adik kecilnya.
Adik-adik kecilnya tidak memahami apa yang berlaku, dan biarlah ibu yang menanggung derita membesarkan adik-adiknya kerana ibu yang memilih jalan ini, bisik hati kecil anak itu.
Selepas habis pengajian, anak juga jarang pulang ke rumah dengan alasan sibuk. Ketika Hari Raya, anak juga hanya singgah sehari dua dengan alasan sibuk. Ibu tidak berkata apa-apa selain menahan sedih dan membiarkan air mata mengalir ke dalam hati.
Ibunya kini tidak sedarkan diri di hospital.
"Biarlah ibu kamu berehat," kata Kak Tom, rakan karib ibu yang memiliki kedai salon tempat ibu bekerja.
Anak yang sedih mengikuti Kak Tom ke kantin hospital.
"Mak kamu akan sangat gembira kalau dia tahu Man balik menjenguknya dan duduk di tepinya," kata Kak Tom.
Anak tidak bercakap apa-apa.
Kak Tom meneruskan ceritanya.
Pada satu malam, ketika anak demam kuat, ibu sangat bimbang. Ayah pula menghilangkan diri entah ke mana tidak dapat dihubungi. Ibu berlari ke rumah sahabat karibnya, seorang ketua jururawat di hospital yang sama untuk memohon bantuan.
Ketika tiba, ibu terkejut melihat motosikal ayah berada di rumah tersebut. Ibu tidak berani mengetuk pintu walaupun dah tiba. Di depan pintu, terdengar kata-kata seorang budak memanggil suaminya ayah dan rakan karibnya memanggil suaminya sayang.
Berkecai hati ibu. Ibu berlari ke rumah Kok Tom untuk meminta pertolongan membawa anaknya ke hospital.
Ibu tidak bercakap apa-apa sepanjang perjalanan. Tiada setitis air mata yang keluar. Yang pentingnya anaknya sihat semula.
Ketika semuanya selesai, ayah pulang ke rumah. Ibu bertanya ayah pergi ke mana, ayah berbohong berkata pergi memancing di laut. Air mata ibu mengalir lalu merayu agar ayah bercakap benar.
Setelah didesak beberapa kali, ayah akhirnya mengaku berlaku curang. Ibu tidak dapat menerimanya. Ayah meminta agar dipulangkan segala hartanya sebelum bercerai. Mendengar kata-kata itu, ibu menghalau ayah keluar rumah secara kasar dan nada kuat.
Anak terdengar ibu menghalau ayah, tapi tidak mendengar apa yang dibicarakan sebelum itu.
Ibunya tidak mahu bercerita mengenainya lagi walaupun setelah secara rasminya bercerai dengan ayah. Imej ayah pada anak perlu dijaga, kata hati ibu. Biarlah dia seorang sahaja yang menanggungnya.
Di hospital, ibu teruk dikenakan oleh ketua jururawat yang mempunyai hubungan dengan bekas suaminya. Akhirnya ibu mengambil keputusan meletakkan jawatan.
Ibu tiada pekerjaan. Tapi pembelanjaan rumah dan anak-anaknya memerlukan ibu untuk bertahan, dan bertahan dalam kesakitan. Dalam pada masa yang sama, ayah datang untuk menuntut harta. Ibu mengurung anak-anak di dalam bilik supaya mereka tidak dapat melihat keburukan ayah mereka. Ibu memulangkan segala wang yang disimpan bersama untuk anak-anak kepada ayah sebelum menghalaunya keluar sekali lagi. Yang menyayatnya, yang dapat didengar oleh anak hanya bahagian menghalau itu.
Tidak apa. Rezeki di tangan Allah, bisik ibu yang menabahkan diri daripada pukulan jiwa terhebat dalam hidupnya. Dan ketika itulah, Kak Tom menawarkan ibu untuk bekerja sebagai pendandan rambut di salonnya.
Kak Tom mengajar ibu segalanya sambil memberikan gaji. Ibu tidak minat pada pekerjaan tersebut namun tetap meneruskannya demi keluarga dan anak-anaknya yang tercinta. Bekerja di kedai salon dipandang serong oleh masyarakat kampung kerana walaupun bekerja di sebalik cermin cerah, masyarakat sekitar tidak dapat menerima ibu memegang kepala orang lelaki.
"Kak Tom dah biasa. Tapi ibu kamu perit kerana dia tak pernah merasainya keadaan dipandang hina, namun ibu kamu bertahan. Kesian dia, walaupun dia bertahan, di rumah, dia juga dipandang hina oleh orang yang paling disayanginya. Bayangkan hidup sedemikian, ia bagaikan neraka," kata Kak Tom.
Ibu tidak pernah merungut anaknya yang semakin jauh padanya. Ibu hanya membisikkan di hatinya, bukan salah anaknya kerana anaknya tidak faham.
Ketika anaknya di luar mencari rezeki, ibunya tidak pernah berhenti mendoakan keselamatannya. Setiap kali Hari Raya Korban menjelang, ibu akan mendermakan daging lembu korban atas nama anaknya.
Yang diharapkan ibu ialah anaknya hidup gembira.
"Ibu kamu melakukan semua itu untuk mengekalkan keluarga. Dia berkorban sepanjang hayatnya untuk kamu semua dan tidak pernah untuk dirinya sendiri," kata Kak Tom di penghujung bicaranya.
Air mata bergenang di mata si anak. Salah faham anak pada ibunya terlalu dalam. Pergorbanan ibunya selama ini dipandang hina oleh dirinya sendiri, masakan ada senjata yang lebih tajam daripada ini pada hati manusia?
Anaknya kembali di sisi katil ibunya lalu menangis memohon maaf. Ibunya mengalirkan air mata dan akhirnya meninggal dunia.
Akhirnya, anaknya faham apa yang berlaku dan kasih sayang dan permohonan maafnya diharap sempat dibawa bersama roh ibunya ke syurga.
Cerita ini diceritakan seorang pensyarah UTM kepada saya ketika saya berusia 27 tahun dan dari situlah, bermulanya penghayatan saya pada erti korban, dari sudut pandangan seorang bukan Islam.
Kepada rakan-rakan Muslim, Selamat Menyambut Hari Raya Haji dan kepada rakan-rakan bukan Islam, Selamat Bercuti. – 14 Oktober, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.